Arah Aliran PSS Sedunia

0

Berdasarkan buku-buku ilmiah, jurnal ikhtisas, perbincangan di persidangan dan pemerhatian semasa lawatan sambil belajar ke luar negara oleh KPM, terdapat sekurang-kurangnya lima (5) arah aliran aliran PSS seperti berikut:
  • Literasi Maklumat (Information Literacy) diberi penekanan dalam sistem pendidikan. Literasi Maklumat adalah satu kemahiran menetukan bila maklumat tertentu diperlukan, kebolehan mencari dan memperolehi maklumat dalam apa jua format dan menggunakan maklumat tersebut dengan berkesan. Memandangkan kemahiran ini adalah lanjutan dan perkembangan kepada kemahiran perpustakaan, tanggungjawab memperkembangkan Literasi Maklumat di sekolah adalah tanggungjawab bersama guru PSS dan guru mata pelajaran.
  • PSS memainkan peranan utama dalam melaksanakan Program Galakan Membaca di sekolah. Justeru, PSS perlu membina koleksi bahan bacaan tambahan (BBT) yang berkualiti dan pelbagai bagi menarik minat membaca dan seterusnya amalan pembelajaran sepanjang hayat.
  • PSS adalah sebahagian daripada rangkaian maklumat sedunia (global information network) yang berpeluang mengakses dan mencapai maklumat tanpa sempadan di merata tempat.
  • Pengautomasian PSS dilaksanakan bagi tujuan mempercepatkan tugas-tugas rutin seperti pemprosesan bahan, pengkatalogan, pencarian maklumat atas talian (OPAC) dan pinjaman bahan.
  • PSS diuruskan oleh beberapa kakitangan sepenuh masa yang mempunyai dwi kelayakan ikhtisas iaitu bidang Pendidikan dan Kepustakawanan/ Teknologi Maklumat. Ini membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Mereka dibantu oleh staf sokongan yang juga diberi latihan Kepustakawanan dan Teknologi Maklumat termasuk Literasi komputer.
Kesemua arah aliran ini sedang mempengaruhi perkembangan PSS di dunia. Justeru, adalah penting bagi menyediakan murid sekolah di Malaysia untuk menghadapi cabaran abad ke-21 supaya membolehkan mereka bersaing dengan rakan-rakan dari negara maju.