Sejarah

0



Pada 1 Januari 1988, Unit Perpustakaan yang sebelum ini berada di bawah Bahagian Sekolah-sekolah telah dipindahkan ke BTP. Dengan wujudnya fungsi baru ini, BTP mula memainkan peranan yang lebih tegas dalam menerapkan tabiat gemar membaca, menekankan perlunya kemahiran pengendalian maklumat diajar dan latihan tentang penggunaan TV Pendidikan, Radio Pendidikan dan sumber pelbagai media bagi guru-guru dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang dibantu sumber dan berorientasikan aktiviti.



Selaras dengan Tahun Membaca (1988), BTP telah mengadakan beberapa program seperti Kuiz Pengetahuan Piala Pusingan Menteri Pendidikan Bagi Sekolah-sekolah Menengah. Kuiz ini bertujuan menggalak dan mempertingkatkan penggunaan bahan-bahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekaligus memperluaskan pembacaan dan tabiat gemar membaca dalam kalangan murid.

Program Khemah Membaca yang julung kali diadakan pada tahun 1988, disasarkan kepada murid-murid Tingkatan 3. Program ini bertujuan memupuk dan menggalakkan tabiat gemar membaca dalam kalangan murid melalui aktiviti dan kemahiran membaca secara berkesan.

BTP juga telah menganjurkan Seminar Membaca PIBG Kebangsaan bagi menggalakkan aktiviti pembacaan di persekitaran tempat tinggal. Usaha ini disokong pula dengan penerbitan buku ‘Perpustakaan Keluarga’ dengan kerjasama Institut Teknologi MARA dan BTP.

Dengan pembentukan Seksyen Perpustakaan, yang dikenali sebagai Seksyen Penyelarasan Pusat Sumber Pendidikan, BTP memulakan usaha ke arah pembangunan PSS dengan lebih sistematis melalui geran permulaan pada tahun 1990 sebanyak RM20,000.00 untuk pembelian buku-buku rujukan dan berbagai jurnal untuk kegunaan pegawai.

Mulai tahun 1991, BTP telah memberikan tumpuan kepada perkembangan Pusat Kegiatan Guru (PKG). Melalui usaha ini, BTP telah memperluaskan rangkaiannya agar dapat menjalinkan hubungan lebih erat lagi dengan sekolah-sekolah dan guru-guru di seluruh negara. Dengan wujudnya rangkaian BTP-BTPN-PKG, BTP pengurusan sumber pendidikan melalui pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan PSS menjadi lebih efisyen. Kini bilangan PKG telah meningkat kepada 368 buah. Antara fungsi utama adalah untuk memantau pelaksanaan program PSS dan teknologi pendidikan di peringkat negeri dan zon/daerah.